Monday, August 24, 2009

nafsu

Dalam Islam, nafsu termasuk dalam unsur ghaib atau rohani yang ada dalam diri manusia. Manusia itu ada unsur rohani dan jasmani. Termasuk dalam rohani ialah jiwa (ruh), akal (aql), hati (qalb) dan nafsu (nafs). Jiwa berfungsi menghidup, menumbuh dan membiak. Akal yang menduduki tempat tertinggi di dalam diri manusia mengandungi kekuatan untuk berfikir, menimbang dan mengingat. Hati mengandungi unsur keinginan dan kehendak. Tumbuh darinya sifat terpuji seperti penyayang, pemaaf dan lemah lembut di samping sifat tercela seperti takbur, sombong, dengki dan khianat. Manakala nafsu menduduki tempat terendah dalam diri manusia. Ia mengandungi unsur kemahuan, kesukaan dan hasrat. Antara sifat nafsu ialah tak tahu malu, tamak, perampas, malas, marah dan sebagainya.


Al-Quran membahagikan nafsu kepada tiga jenis, iaitu nafsu mutma'innah (al-Fajr (89): 27), nafsu lawwamah (al-Qiyamah (75): 2) dan nafsu ammarah bi al-su' (Yusuf (12): 53).


Nafsu mutma'innah merujuk kepada jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan yang baik dalam agama manakala nafsu lawwamah ialah jiwa yang sentiasa menegur dan menempelak diri sendiri semasa berbuat baik atau jahat. Ketika berbuat baik, ia menempelak kerana tidak membuatnya lebih banyak dan ketika berbuat jahat menempelak diri kerana sesal. Manakala nafsu ammarah bi al-su' ialah nafsu yang menyuruh manusia melakukan kejahatan dan maksiat.


Mengenai puasa pula, menurut bahasa ia bermaksud menahan diri dari sesuatu aktiviti. Dalam Islam puasa bererti menahan diri dari sesuatu yang membatalkannya daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Antara perkara membatalkan puasa ialah makan dan minum dengan sengaja, bersetubuh, keluar mani dengan sengaja, gila, keluar darah haid atau nifas dan murtad (keluar agama).


Walaupun mengingat perkara lain yang tidak senonoh tidak sampai membatalkan puasa, ia mengurangkan pahala puasa itu sendiri kerana membiarkan diri dipengaruhi nafsu. Tujuan puasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, bersolat sunat dan sebagainya. Mengawal dan mendisiplinkan nafsu adalah sebahagian daripada ajaran Islam terutama ketika menjalani ibadat puasa. Islam tidak mengajar supaya nafsu ditiadakan langsung. Islam cuba mendisiplinkan nafsu supaya manusia tidak hanya mengikut nafsu semata-mata.


Justeru sekarang ini, adakah kita telah benar-benar mengawal dan membatasi nafsu makan kita atau kita hanya menangguhkannya sehingga masuk waktu magrib (waktu berbuka)???

No comments :