Saturday, January 31, 2009

money

Petang semalam aku, isteri dan dua anak kecil ke klinik. Nak khatankan Nur Khalishah Nadhirah, dah hampir 4 bulan usianya. Sementara menunggu giliran, aku tertarik dengan beberapa baris ayat bercetak yg ditampal di cermin di kaunter. Aku mula la meraba2 mencari pen, tak bawak pulak! Hafal jer la, bukan panjang, hanya 4 ayat pendek. Mula ler aku menghafal ketika nama anak aku dipanggil, isteri jer yg masuk. Tetiba aku terfikir, eh nape tak gunakan hp? Rupa2nya aku masih tergolong di kalangan mereka yg masih belum dpt menggunakan kemudahan teknologi secara maksimum!

Baris2 ayat tsb adalah seperti berikut;

What money can buy?
A nice bed but not sleep
A gold but not soul
A treat but not good habit
A wealth but not health

Friday, January 30, 2009

pantun berkasih

pantun2 nih aku dah lupa dah akan sumber2nya, aku abadikan di sini khas buat kalian.... (sori krn agak panjang entri nih!)

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Pasir putih di pinggir kali
Pekan menyabung ayam berlaga
Kasih tak boleh dijual beli
Bukannya benda buat berniaga

Petik sayur si daun maman
Makan berulam daun pegaga
Habis tahun berganti zaman
Kasih adinda kunanti jua

Hijau nampaknya Bukit Barisan
Puncak Melati dengan Singgalang
Terbang nyawa dari badan
Kasih di hati takkan hilang

Indragiri pasirnya lumat
Kerang bercampur dengan lokan
Ibarat Nabi kasihkan umat
Begitu saya kasihkan tuan

Bunga Melati terapung-apung
Bunga rampai di dalam puan
Rindu hati tidak tertanggung
Bilakah dapat berjumpa tuan?

Burung merbuk membuat sarang
Anak enggang meniti di paya
Tembaga buruk di mata orang
Intan berkarang di hati saya

Kalau roboh kota Melaka
Sayang selasih di dalam puan
Kalau sungguh bagai dikata
Rasa nak mati di pangkuan tuan

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Badan nyawa saya serahkan

Anak campuran Cina-Melaka
Pulang ke rumah di Bukit Pekan
Andai kena dengan cara
Nyawa dan badan saya berikan

Anak haruan tidak terluang
Benang sutera di dalam buluh
Hendak buang tidak terbuang
Sudah mesra di dalam tubuh

Tumbuk padi jadikan emping
Buat juadah teman sebaya
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Kain cindai dilipat-lipat
Lipat mari di tepi perigi
Kalau pandai tuan memikat
Burung terbang menyerah diri

Kiri jalan kanan pun jalan
Sama tengah pokok mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggung rindu

Pucuk pauh batangnya pauh
Di tengah-tengah pokok mengkudu
Adinda jauh kekanda pun jauh
Sama-sama menanggung rindu

Buah jambu disangka kandis
Kandis ada di dalam cawan
Gula madu disangka manis
Manis lagi senyuman Tuan

Sayang Musalmah pergi ke taman
Hendak memetik sekuntum bunga
Sudah ada dalam genggaman
Bilakah dapat hidup bersama?

Anak haruan berlima-lima
Mati ditimpa ponggor berdaun
Kasih cik adik saya terima
Menjadi hutang beribu tahun

Sayang Laksamana mati dibunuh
Mati dibunuh Datuk Menteri
Tuan umpama minyak yang penuh
Sedikit tidak tertumpah lagi

Sayang pelanduk di luar pagar
Mati ditembak patah kakinya
Tujuh tahun gunung terbakar
Baru sekarang nampak apinya

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Harum baunya si bunga Tanjung
Harumnya sampai puncak gunung
Tuan umpama sekaki payung
Hujan panas tempat berlindung

Tajam kapak dari beliung
Hendak menebang kayu berduri
Tuan laksana kemuncak payung
Saya di bawah menyerah diri

Hujan panas turun berderai
Guruh menyambar pohon jati
Kasih sayang tak boleh bercerai
Bagaikan rambut bersimpul mati

Hilir berderap mudik berderap
Patah galah di dalam perahu
Tuan laksana si bunga Dedap
Cantik merah tidak berbau

Orang berhuma di Pulau Balangan
Asap apinya tabun-menabun
Tuan laksana bunga kayangan
Kuntum Kasturi tangkainya embun

Kalau Tuan pergi ke Jambi
Ambil air Cik Tahir jurubatunya
Kalau Tuan hendakkan kami
Bakar air ambil abunya

Beli cempedak dari Danga
Mari dibelah di atas tudung
Jika berhajat menyunting bunga
Jumpa wali di atas gunung

Buah jering di atas para
Diambil budak bawa berlari
Kering laut tanah Melaka
Baru saya mungkirkan janji

Buih kuini jatuh tercampak
Jatuh menimpa bunga selasih
Biar bertahun dilambung ombak
Tidakku lupa pada yang kasih

Tebang gelam tebang kenanga
Batang tumbang menimpa gadung
Kumbang mengidam nak seri bunga
Bunga kembang di puncak gunung

Limau purut lebat di pangkal
Batang selasih condong uratnya
Hujan ribut dapat ditangkal
Hati kasih apa ubatnya?

Layang-layang terbang melayang
Jatuh ke laut disambar jerung
Siapa bilang saya tak sayang?
Kalau bunga rasa nak kendong

Layang-layang terbang melayang
Jatuh di laut melayang-layang
Siapa bilang saya tak sayang?
Siang malam terbayang-bayang

Layang-layang disambar nuri
Madu kelapa dalam tempayan
Lagi tak hilang bukit Puteri
Tidak kulupa kasihmu Tuan

Langit cerah awan membiru
Dinihari embun pun jatuh
Sakit sungguh menanggung rindu
Di dalam air badan berpeluh

Indah nian bulan mengambang
Keliling pula bintang bercahaya
Wajah tuan bila kupandang
Bagai melihat pintunya syurga

Ikan belanak di tengah muara
Daun suji di dalam puan
Tiada sanak tiada saudara
Kalau sudi terimalah Tuan

Dua tiga kucing berlari
Manakan sama si kucing belang
Dua tiga boleh kucari
Manakan sama abang seorang

Anak beruk di kayu rendang
Turun mandi di dalam paya
Huduh buruk di mata orang
Cantik manis di mata saya

Tinggi tinggi mata hari
Anak kerbau mati tertambat
Sudah lama saya mencari
Baru sekarang saya mendapat

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Biar jauh beribu batu
Jauh di mata di hati jangan

Surat kulayang untuk berkata
Penyampai hasrat kata di hati
Kalaulah sungguh kasihkan saya
Jangan dibuang sampai ke mati

Kedondong batang sumpitan
Batang padi saya lurutkan
Tujuh gunung sembilan lautan
Kalau tak mati saya turutkan

Burung terbang menarik rotan
Lalu hinggap di kayu Jati
Tujuh gunung tujuh lautan
Belum dapat belum berhenti

Di Tanjung Katung airnya biru
Di situlah tempat mencuci mata
Duduk sekampung lagikan rindu
Inikan pula jauh dimata

Laju-laju perahu laju
Lajunya sampai ke Surabaya
Lupa kain lupakan baju
Tetapi jangan lupakan saya

Kalau menyanyi perlahan-lahan
Dibawa angin terdengar jauh
Kalau hati tidak tertahan
Di dalam air badan berpeluh

Bunga Cina jambangan Cina
Bungkus inai dalam kertas
Sungguh saya bena tak bena
Di dalam hati haram tak lepas

Bunga rampai di dalam puan
Buluh perindu di atas gunung
Adakah sampai kepadamu tuan?
Rindu kekanda tidak tertangung

Ayam disabung jantan dipaut
Jika ditambat kalah laganya
Asam di darat ikan di laut
Dalam belanga bertemu jua

Angin Barat dari gunung
Berhembus lembut terlalu nyaman
Baru kelibat adik menyongsong
Kembali segar semangat di badan

Orang mengail ikan cencaru
Dapat ikan bawa ke jeti
Kalau tuan kata begitu
Barulah senang di dalam hati

Ribu-ribu pokok mengkudu
Cincin permata jatuh ke ruang
Kalau rindu sebut namaku
Airmata jangan dibuang

Dari mana punai melayang
Dari sawah turun ke padi
Dari mana datangnya sayang?
Dari mata turun ke hati

Berkurun lama pergi menjauh
Wajah kulihat di dalam mimpi
Kalau dah kasih sesama sungguh
Kering lautan tetap kunanti

Anak buaya anak memerang
Anak biawak luka kepala
Badan merantau sakit dan senang
Pada adinda sedikit tak lupa

Kukutip bunga buat karangan
Karangan diletak di atas peti
Ingin kusunting bunga di jambangan
Buat penyeri di taman hati

Sekapur sirih seulas pinang
Adat berkunjung budaya Melayu
Terjunjung kasih tersimpul sayang
Terikat terkurung kasih nan satu

Burung merpati terbang melayang
Singgah sebentar di pohon meranti
Rindu hatiku bukan kepalang
Wajahmu tuan termimpi-mimpi

Malam ini malam Jumaat
Pasang dian kepala titi
Tepuk bantal panggil semangat
Semangat datang di dalam mimpi

Hilang sepi di raut wajah
Usah terlerai nilainya budi
Setia janji takkan berubah
Kasih tersemai tetap abadi

Kalau tidak kelapa puan
Tidak puan kelapa bali
Kalau tidak pada tuan
Tidak tuan siapa lagi?

Pohon sena cabangnya empat
Mari tebang waktu pagi
Kalau kena dengan makrifat
Burung terbang menyerah diri

Gunung tinggi dilitupi awan
Berteduh langit malam dan siang
Bila adik mengirimkan pesan
Hancur seluruh sendi abang

Air pasang limpah ke pasar
Tanam pinang kelapa mati
Di manalah tuan belajar
Pandai mencari isyarat hati?

Tajam tubuh si buah gading
Hendaklah ikat bersama tali
Hancur luluh tulang dan daging
Namun kulupa tidak sekali

Hujan turun badan pun basah
Patah galah haluan perahu
Niat dihati tak mahu berpisah
Kehendak Allah siapa yang tahu?

Fikir memikir sama lawak
Jangan dibawa ke Tanjung Jati
Sindir menyindir sesama awak
Jangan dibawa masuk ke hati

Tuan puteri meminta cawan
Untuk diisi air kelapa
Amat tulus kasihmu Tuan
Sampai ke mati adinda tak lupa


- saja nak layan pantun ler pulak!

Thursday, January 29, 2009

tudung

Wahai kaum ibu, adik-adik, kakak, isteri dan kekasih serta kawan -kawan marilah sama-sama memerhatikan beberapa gelaran jenis tudung yang boleh dilihat dalam realiti masyarakat hari ini yang perlu diperbetulkan oleh kalangan kaum hawa (dipetik daripada laman web ibnyusof.blogspot. com):-

1.Tudung 'Mickey Mouse'
Pemakaian tudung yang hanya menutup bahagian rambut dan kepala tanpa menutup kedua-dua telinga. Barangkali untuk menunjukkan subang atau apa-apa perhiasan. Pemakaian yang lebih teruk ialah apabila tudung tersebut dililit sehingga menampakkan leher.

2.Tudung Lilit
Jenis tudung ini jika dilihat telah menutup keseluruhan kepala termasuk telinga tetapi tidak dilabuhkan menutup dada dan hanya dililitkan di leher sahaja!. Kriteria menutup dada tidak dipenuhi seolah-olah ingin menayangkan kurniaan yang tidak diberikan kepada kaum lelaki.

3.Tudung 'See Through'
Salah satu jenis tudung yang popular ini banyak dilihat di merata tempat, kain tudung yang nipis menampakkan leher dan telinga walaupun telah menutup lengkap. Lebih teruk jika tidak memakai anak tudung kerana ianya seperti tiada beza dengan mereka yang tidak bertudung.

4. Tudung Jambul
Pemakaian jenis ini banyak dipromosikan dalam drama-drama Melayu yakni menutup separuh rambut di bahagian belakang dengan membiarkan yang depannya tersembul keluar seperti jambul unta.

5.Tudung 'Singlet'
Tudung yang sempurna tetapi dengan hanya memakai lengan pendek menyebabkan aurat dan lain-lain perhiasan yang sepatutnya ditutup daripada menjadi tatapan umum. Tiada kelonggaran hukum tentang penutupan aurat di kawasan awam hatta hanya untuk bersukan.

6.Tudung Saji
Sekejap pakai, sekejap tidak. Tudung atau lebih tepat dikatakan selendang yang hanya menjadi perhiasan leher. Boleh dilihat di kenduri-kenduri kematian yang mana selendang tersebut akan turun dan naik diangkat si pemakai seolah-olah menjadikannya seperti tudung mengikut keperluan situasi.

Inilah serba sedikit pemakaian tudung yang kurang sempurna dan perlu diperbetulkan bagi menepati roh syariat yang sebenar sekaligus menggapai hikmah di sebalik penetapan kewajiban menutup aurat. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda :

"Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti pundak unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka adalah kaum wanita yang terkutuk." (At- Thabrani Al-Mujamusshaghir : 232)

Selain itu, ada juga muslimah bertudung di kalangan kita yang memakai seluar jeans dan sebagainya sehingga menampakkan susuk tubuh mereka dan alasan kepada pemakaian tersebut tidak lebih hanya sekadar untuk menjalani rutin harian.

"Inilah kejayaan musuh Islam apabila perkara ini ummat Islam menganggapnya sesuatu perkara yang biasa dan remeh dalam masyarakat. Perkara yang dianggap biasa ini menular dalam pemikiran masyarakat sehingga konsep penutupan aurat yang sempurna itu dicabuli dengan mudah," kata laman ibnyusof.blogspot.com

Semoga kaum hawa tidak lupa kepada Firman Allah yang jelas:- "Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan Al-Khimar ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..."

Wednesday, January 28, 2009

tandatangan

Sebelum magrib aku terima sms drp isteri, “ Abg nt lik awl skitlah, td mak nisak 2 dtg, sruh sain brng mlm nie gak nak, dh 5 kali col umah kte, sok pg2 ank die dh nk lik kl, die nk dtg amik mlm nie gak.” Aku balas sms itu, “ok”

Selepas isyak aku sampai rumah dan isteri terus bercerita ttg borang tersebut. Rupa2nya borang permohonan biasiswa kecil persekutuan. Jam 10.30 bekas anak murid aku tu dtg bersama bapanya utk mengambil borang tetapi aku belum tandatangan lagi sebab cop jawatan aku tiada di rumah. Aku memintanya datang mengambilnya di pejabat sekolah esok pagi jam 8.30. Sibuk jugak aku, macam wakil rakyat ler pulak....!

Tuesday, January 27, 2009

pencerapan

Pagi tadi aku ke sebuah kedai runcit di kampung mertuaku. Ketika hendak masuk kedai, aku terdengar sebahagian daripada perbualan dua lelaki ketika berjalan berhampiran mereka.

"..... sebelum rehat dia masuk lepas rehat dia masuk lagi!"
"Yeke?"
"Aku tak tahu laa, takde keje lain ke GB aku tu?"

Setakat itu jer yg sempat aku dengar tapi beberapa kepastian aku perolehi; pertama, mereka adalah guru dan keduanya, lelaki pertama tidak senang dengan amalan pencerapan P&P yg dilakukan oleh GBnya.

Saturday, January 24, 2009

kajian tindakan

JPN mengarahkan semua guru menyediakan seorang sebuah kajian tindakan. Semalam, terima surat daripada PPD meminta maklumat tentang pendedahan kajian tindakan kepada guru-guru dan meminta juga supaya proposal dihantar ke ppd pada atau sebelum 20 Februari 2009. Tindakan segera perlu diambil, maka pada hari ini aku mengadakan taklimat mengenai kajian tindakan kepada semua guru. Moga mereka semua mudah faham dan boleh menghasilkan kajian tindakan mereka masing2 dengan jayanya.

Friday, January 23, 2009

Pn Marina bertukar


Semasa rehat tadi, diadakan jamuan sempena pertukaran Pn Marina bt Yaacob ke SK Ismail 2. Hanya sempat setahun saja beliau bertugas di sini dan oleh kerana pernah mengikuti kursus kaunseling selama 14 minggu maka tenaga beliau diperlukan sebagai kaunselor sepenuh masa. Dalam ucapan tadi aku ada nyatakan bahawa secara peribadi aku memang sangat gembira ketika menerima Pn Marina tahun lepas. Ini adalah kerana Pn Marina adalah seorang guru lama yang berpengalaman luas. Khidmat bakti beliau memang sangat diperlukan di sini, namun sebagai penjawat awam kita hanyalah sebagai yang menurut perintah, semestinya akur dengan arahan pihak atasan.

Selamat bertugas di sekolah baru, semoga lebih merasa gembira dan ceria!

limau mandarin

Semalam selepas isyak, aku ke sebuah mini market bersama aisyah, anak bongsuku membeli sedikit barang2 keperluan. Ketika membuat pembayaran, taukeh mini market menghulur kepadaku bungkusan plastik berisi buah limau. Sejurus masuk ke dalam kereta, aku mengupas sebiji dan memberi separuh kepada anak, masam!!! Aku berkata pada anak, "Cuba adik pulak amik sebiji..." Dia mengambil sebiji dan memberinya kepadaku. Setelah dikupas aku memberinya separuh dan minta dia makan dulu. "Manis la papa!" katanya. Aku macam tak percaya tapi tanganku terus jugak menyuap seulas limau ke mulutku, "haah manis la...pandai adik pilih!"

Thursday, January 22, 2009

dibuang sekolah

Bekas murid aku pada tahun 2004 dulu datang utk mendapatkan pengesahan dalam borang rayuan utk bersekolah semula setelah dibuang sekolah pada tahun lepas. Aku bertanya, "Awak masih ingat saya tak?" Dijawabnya, "Tidak, tak perasan la cikgu..." Kurang asam betullah! Dia tamat belajar pada 31 Disember 2004 sedangkan aku mula bertugas di sekolah ini dalam bulan Mac 2004. Dia dibuang sekolah kerana ponteng sekolah. Ibu bapanya telah berpisah dan dia tinggal bersama2 emaknya. Emaknya sudah tak larat nak mengawalnya lagi. Aku mengambil kesempatan jugalah memberi kata2 nasihat memintanya supaya menghabiskan pelajaran tingkatan 5 dan juga mengambil peperiksaan SPM serta jagalah batas2 pergaulan, carilah kekawan yg baik supaya mudah utk menjadi baik. Riak wajah pelajar ini agak lembut dan tidaklah kelihatan sangat nakal. Memang ada harapan cerah bahawa dia akan insaf dan berubah.

Saturday, January 17, 2009

wong pau choo

Semalam, seawal jam 2.30 ptg aku telah berada di SMK Jalan Junid, Muar utk hadiri mesyuarat Panitia Pendidikan khas Daerah Muar. Agenda pertamanya ialah menjamu selera; beehoon sambal telor rebus dan dua tiga jenis kueh. Seorang guru perempuan cina separuh umur menegurku, " u ni orang baru kan, baru pindah ke muar ke?" "i am very new here, tapi bukan baru bertukar, baru dlm panitia ini," jawabku ringkas. Perbualan terhenti di situ namun semasa dalam mesyuarat, ketika membelek2 nama penyelaras pendidikan khas, aku tertarik dgn nama Pn Wong Pau Choo dari SMK Bukit Pasir. Ingatanku terus melayang ke tahun 1976 ketika aku berada di Form Three A di Sekolah Tengku Mahkota dan aku pasti Wong Pau Choo ni adalah classmate aku! Dalam pada itu, guru cina separuh umur yg menegur aku ketika makan tadi bersuara dalam mesyuarat dan aku terdengar pengerusi memanggilnya dengan nama Puan Wong, masyaAllah!, kami telah bertemu dlm keadaan tidak mengenali antara satu sama lain. Selepas tamat mesyuarat, aku terus berjumpa dgnnya utk membuat pengesahan. Oleh kerana kesuntukan masa, aku hanya sempat akhiri pertemuan itu dgn kata2, "kita jumpa lagi nanti!"

Tidak dapat hendak kubayangkan rasa gembira apabila dapat berjumpa semula dengan rakan sekelas selepas lebih daripada 30 tahun berpisah....

Friday, January 16, 2009

tak selari dan harijadi

Awal pagi tadi, aku memandu ke masjid utk solat subuh, tiba di simpang masuk ke sekolah, aku terus membelok tapi kemudian segera brek, eh! aku bukannya nak ke sekolah lah subuh2 gelap ni...!!!! nape fikir dan tindakan aku jadi tak selari? banyak sangat ke perkara/masalah yg sedang aku fikirkan, ke memori aku dah 'corrupt'?

Hari ini adalah ulangtahun kelahiran Muhammad Luqman AlHakim yang kedua. Dia semakin aktif dan lasak....

Thursday, January 15, 2009

member kamceng

Baru tadi aku berjaya menghubungi Hj Sabri, rakan sepengajian, tinggal serumah lagi di Kolej Aminuddin Baki dulu. Dah 3 hari terlantar di hospital kerana disyaki menghadapi masalah pada injap jantungnya. Terlupa ler pulak aku nak bertanya dia berada di hospital mana tapi aku rasa di Kemaman ler kerana dia memang menetap di situ. Aku memang kenal rapat dgn Hj Sabri sejak dari di IAB lagi, lebih2 lagi dia pun spesis yg sama dgn aku! hehehe... Aku doakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab sepertimana biasa.

Wednesday, January 14, 2009

ulangtahun kelahiran

Hari ini adalah hari jadi isteri aku yg ke 40, tua dah isteri aku dan aku lebih2 lagilah tuanya!....hehehe. Aku dah ucapkan selamat hari jadi kepada isteri tersayang seawal malam tadi sebelum melelapkan mata. Tengah2 malam terima pulak sms dari anak di KL yg berpesan agar aku jangan lupa utk memberi ucapan hari jadi kat emaknya. Orang lelaki ni memang selalu lupa ke bab hari jadi ni? ke menganggapnya remeh dan tidak penting?

Sunday, January 11, 2009

hari minggu

Subuh tadi selepas balik dari masjid, aku kejutkan anak bongsu supaya bangun dan solat subuh. Pastu aku baring2 ler kat bilik tu, badan pulak terasa sejuk, memang best kalau sambung tidur ni. Anak aku kata dia taknak tidur tapi dia turut baring di sebalik aku. Kami bersembang sebentar dan kemudian.......zzzzzzzz. Pukul 9.30 baru terjaga, hilang cerita nak bersihkan longkang depan rumah!

Selepas zohor aku ke sekolah, sebelum keluar tadi isteri aku berpesan melalui anak supaya jangan berlama2 di sekolah, hari ni kan cuti! Aku buat dengar tak dengar jer. Rumah aku dengan sekolah dekat sangat, seminit dua dah sampai. Terfikir jugak bahawa aku telah menjadikan sekolah seperti rumah kedua aku....

Friday, January 09, 2009

prestasi

Semalam, aku adakan program ringkas yang berkaitan dengan penilaian prestasi dan aku namakan ‘Sembang Prestasi Bersama GB.’ Setiap guru/staf datang berjumpa aku di bilik GB mengikut kelapangan masa free dan antara lain mereka dimaklumkan tentang markah prestasi yang diperolehi. Hampir semua dapat menerima dengan hati terbuka dan apabila ditanya hendak ditambah lagikah jumlah markah tu? “Boleh jugak..... tapi terpulang pada cikgulah...” kata mereka. Biasa ler tu kan, kalau boleh memang semua suka dapat markah yang tinggi!

Wednesday, January 07, 2009

adik beradik sebapa

Petang semalam, isteriku bercerita;

Semasa mengajar PSV di kelasnya sendiri, tahun 3, seorang murid perempuan berulangkali ke meja depan meminjam pensil warna daripada seorang murid lelaki. Isteriku menegur, "Shida (bukan nama sebenar), kenapa awak pinjam pensil warna Ariff (bukan nama sebenar), dia pakwe awak ke?" Berderai ketawa murid2 lain tapi kedengaran kemudian satu suara yang berkata, " Cikgu, dia orang adik beradiklah cikgu..." Isteriku tercengang, "Hah, biar betul! Shida, mak awak dgn mak Ariff sama ke?" "Tak cikgu, bapa kami jer yang sama..."

Isteriku 'tersenyum panjang', dah masuk hari kedua baru dketahui bahawa mereka adalah adik beradik sebapa, Shida lahir pada bulan Jun dan Ariff pula pada bulan April. Meriah keluarga mereka kan?

Monday, January 05, 2009

dipantau

Seawal jam 7 pagi, aku dan guru bertugas dah tercegat di pagar utama masuk ke sekolah, bersalaman dgn ibu bapa dan juga murid2. Kelihatan murid2 yg bermanis muka gembira datang ke sekolah dan ada juga yang seperti tidak suka. Walaubagaimana pun pada tahun ini tiada yg kedengaran menangis atau melalak terjerit2. Seorang penyelia dari Unit HEM PPD datang memantau dari pagi hingga ke tengah hari. Penyeliaannya meliputi semua aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah dan masuk jugak memantau ke setiap kelas. Alhamdulillah, keseluruhannya adalah memuaskan!

Sunday, January 04, 2009

pemansuhan yuran sekolah

Menurut SPI 7/2008, hanya bayaran insurans sahaja yang boleh dikutip. Bayaran2 bagi program sekolah perlu endorsement dari mesyuarat agong PIBG yang akan diadakan selewat2nya pada 31 Mac 2009 dan bayaran dibuat selepas pertengahan tahun. Sejauhmanakah pentadbir sekolah akur dengan pekeliling ini?

Rungutan masih kedengaran di sana sini....

Friday, January 02, 2009

menuding

Dalam satu taklimat pendaftaran murid, seorang pengetua menyentuh tentang beberapa masalah yang dihadapi di kalangan pelajar yang diterima termasuklah masalah 3M. Beliau telah mempersoalkan apa sebenarnya yang telah berlaku di sepanjang 6 tahun di sekolah rendah sehingga ada pelajar yang langsung tidak mengenal abjad. Satu tamparan atau cabaran? Apa sebenarnya jawapan terhadap masalah ini jika anda adalah salah seorang guru di sekolah rendah?