Diperturunkan soaljawab agama seperti di bawah, mudah-mudahan dapat kita amalkan dan sebarkan.
Soalan:APAKAH ada hukum yang membenarkan atau melarang kita memotong/bercukur/ menggunting bulu pada diri kita seperti misai, janggut, ketiak, dada, alat kelamin (depan dan belakang) dan betis.
HISHAM, Pulau Pinang.
Jawapan:SECARA umum setiap amal perbuatan seorang Mukmin ada hukum yang tertentu dalam Islam. Islam menilai sesuatu perbuatan sebagai wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Asasnya adalah ketetapan yang berdasarkan sumber hukum terutama al-Quran dan sunnah.
Berkaitan dengan hukum memotong/bercukur/menggunting bulu yang terdapat pada diri terdapat hukum tertentu. Misai disunatkan dinipiskan. Janggut disunatkan dibiarkan panjang sekadar segenggam. Bulu ketiak disunatkan dicabut.
Bulu kemaluan disunatkan cukur. Manakala bulu-bulu lain termasuk dada dan betis dibiarkan dengan tidak memotong atau dicukur.
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sunnah fitrah itu ada lima atau lima dari fitrah adalah berkhitan (sunat), mencukur rambut kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting rambut atau kumis” (HR.Bukhari, no.5590).
Dalam hadis lain dari Anas bin Malik, beliau berkata: “Rasulullah membataskan waktu kepada kami dalam memendekkan kumis, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, agar hal terbabit tidak dibiarkan melebihi 40 malam”(HR. Muslim dan Ibnu Majah juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Nasa’i).
No comments :
Post a Comment