Wednesday, December 24, 2008

malam pertama

Entri kali ini agak panjang, kena banyak sabor ler kalau nak membacanya sehingga habis....

Apabila menyebut malam pertama, pasti semua orang akan terbayang satu malam yang penuh dengan keindahan dan kenikmatan. Nikmat duniawi yang tiada tara!


Ya, satu malam di mana pasangan pengantin baru yang sah bergelar suami isteri setelah diijab qabulkan akan bersatu, beradu serta berpadu zahir dan batin. Malam penuh bahagia! Kita yang telah berkahwin sudah pasti telah menempuhi dan merasai nikmat malam pertama perkahwinan!! Tetapi, pernahkah terbayang dan terlintas di benak fikiran kita satu malam lain yang juga dinamakan malam pertama, namun ianya bukanlah malam pertama perkahwinan?
Malam itu ialah Malam Pertama Di Alam Kubur!

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?

Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan? Apakah malam pertama kita di alam kubur nanti asyik dan nikmat atau penuh derita dan sengsara?

Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu di dunia dan ketenangan pun menghilang. Apabila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai tetapi pada keesokannya kita berada pada malam pertama di dalam alam yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang meneranginya adalah amalan-amalan yang kita lakukan, alam yang sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak, bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi Malam Pertama Di Alam Kubur!

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Apabila dia mendapati hatinya keras, maka dia masuk ke liang kubur tersebut. Dia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

“Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian dia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya pada hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”


Sumber: Email yg diterima oleh As-Sarawaki, 7 Mei 2007

2 comments :

kunan said...

Terima Kasih Cikgu Yusof kerana mengingatkan kita tentang alam kubur dan kematian agar memberi kesedaran dan keinsafan terhadap tingkahlaku kita dalam melalui kehidupan ini.

Dua hari lepas saya menziarahi ayah rakan meninggal dunia sehingga ke kubur tempat allahyarham dikebumikan. Saya cuba bermuhasabah diri dengan mengandaikan jenazah itu adalah saya sendiri, dibungkus, dimasukkan ke dalam keranda, ke dalam tanah dan ditimbus kemudian ditinggalkan keseorangan menghadapi kehidupan alam kubur sendirian.

Teringat pula usrah disampaikan oleh ustaz dekat dengan rumah saya, menyatakan orang cerdik ialah orang yang apabila matinya di tempatkan ke dalam SYURGA, manakala orang bodoh ialah apabila matinya ditempatkan di dalam NERAKA. (itulah maksud sebenar antara orang cerdik dan orang bodoh).

Jadi dengan ada ijazah, master dan phd belum tentu cerdiknya kita, sekiranya kita tidak ditempatkan di Syurga. Wallahuwaklam.

Anonymous said...

Masya Allah. Ramai di antara kita bagaikan terlupa malam pertama itu.