Saturday, December 27, 2008

nafsu ammarah

Petang ni tergerak pulak hati nak masukkan entri tentang nafsu....

Ammarah adalah martabat nafsu yang paling rendah dan kotor disisi Allah. Segala yang lahir darinya adalah tindakan kejahatan yang penuh dengan perlakuan mazmumah (kejahatan / keburukan). Pada tahap ini hati nurani tidak akan mampu untuk memancarkan sinarnya kerana hijab-hijab dosa yang melekat tebal, lapisan lampu ma’rifat benar-benar terkunci. Dan tidak ada usaha untuk mencari jalan menyucikannya. Kerana itulah hatinya terus kotor dan diselaputi oleh pelbagai penyakit.

Firman Allah s.w.t., mafhumnya :
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya.”
“Sesungguhnya nafsu amarah itu sentiasa menyuruh manusia berbuat keji (mungkar).”
“Bahkan manusia itu hendak berbuat maksiat terus menerus.”


Dalam kehidupan seharian segala hukum-hakam, halal-haram, perintah dan larangan tidak pernah diambil peduli. Malah buat kejahatan itu sudah sebati. Tidak ada penyesalan, malah kadang-kadang bangga buat jahat. Contohnya dia berbangga dapat merosakkan anak dara orang, bangga dengan kehidupan songsang, minum, berjudi, pergaulan bebas malah jadi barat lebih dari orang barat.

Bagi mereka pada peringkat nafsu ini, konsep hidupnya adalah sekali, jadi masa mudalah untuk seronok sepuas-puasnya tanpa mengenal batas-batas. Baik jahat adalah sama sahaja disisinya tanpa ada perasaan untuk menyesal. Malah kadang-kadang bila boleh buat jahat seolah-olah terdapat perasaan lega dan puas. Itulah sebabnya kadang-kadang ada yang dapat nak mengawalnya dari melakukan sesuatu yang jahat. Dah jadi hobi. Hatinya telah dikunci oleh Allah sebagaimana firman-Nya, mafhumnya :
“Tidaklah engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya (amarah) menjadi Tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya) lalu Allah mengunci mati pendengarannya (telinga batin) dan hatinya dan penglihatannya (mata hatinya) diletak penutup.”

Manusia pada peringkat nafsu amarah ini bergembira bila menerima nikmat tetapi berdukacita dan mengeluh bila tertimpa kesusahan. Firman Allah s.w.t., mafhumnya :
“Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah akibat kesalahan tangan mereka sendiri, lantas mereka berputus asa.”

Jelasnya pada peringkat ini segala tindak tanduknya adalah menuju dan mengikut apa kehendak syaitan yang mana telah dikuasai sepenuhnya olehnya (syaitan). Rupa sahaja manusia, tapi hati dikuasai syaitan. Pada peringkat ini, manusia itu tak makan nasihat. Tegurlah macam mana pun. Dia tetap tak akan berubah kecuali diberi hidayah oleh-Nya.

Mereka tidak pernah takut pada Allah dan hari pembalasan. Malah meremehkan lagi ada. Mengejek dan mencemuh. Mereka tidak pernah peduli dengan ancaman Allah seperti :
“Akan dicampakkan ke dalam Neraka Jahannam dari golongan jin dan manusia yang mempunyai hati tidak memerhati, mempunyai mata tidak melihat, mempunyai
telinga tidak mendengar. Mereka itu adalah binatang malah lebih hina dari binatang kerana mereka termasuk di dalam golongan yang lalai.”

Mereka suka mencela orang lain, memperbodohkan kelemahan orang lain dan melihat dirinya sendiri serba sempurna. Mereka tidak pernah menyandarkan hasil usahanya kepada Allah. Mereka fikir apa sahaja kejayaan mereka adalah hasil titik peluh diri sendiri. Jiwa mereka pada tahap ini adalah kosong dan hubungan dirinya dengan Allah boleh dikatakan tidak wujud.

Dalam konteks penerimaan ilmu, orang yang bernafsu amarah hanya berupaya menerima ilmu di peringkat ilmu Qalam. Terutamanya yang mementingkan soal-soal
lahiriah dunia sahaja. Tak ada minat kepada pelajaran agama dan hari akhirat.

Pada peringkat ini, tidak ada peluang sama sekali untuk menerima ghaib dan ilmu syahadah selagi hatinya kotor dan tidak disucikan dengan pembersihan zikrillah yang mempunyai wasilah bai'ah dengan Rasulullah s.a.w. Untuk membebaskan diri dari cengkaman nafsu ini hendaklah menemukan jalan wasilah ilmu Rasulullah s.a.w. dengan menerima tunjuk ajar dari ahli zakir iaitu Guru Mursyid yang dapat memberikan petua-petua penyucian diri dan penyucian jiwa yang mempunyai mata rantai dengan Rasulullah s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w., mafhumnya :
“Tiap sesuatu ada alat penyucinya dan yang menyuci hati ialah zikir kepada Allah.”

Pada tahap amarah ini kalau berzikir pun hanya di bibir sahaja tanpa meresap ke dalam jiwa. Amarah tidak mengenal sesiapa, malah ahli kitab sekalipun. Walaupun ada kelulusan Al-Azhar, walupun berserban besar dan berjubah. Ammarah tidak pernah takut dengan itu semua malah lagi senang ia menyerang. Yang ia takut hanyalah zikrillah. Sabda Rasulullah s.a.w:, mafhumnya : “Sesungguhnya syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia, maka apabila manusia itu berzikir kepada Allah, maka mundurlah syaitan dan apabila ia lupa, maka syaitan itu menelan hatinya.”

4 comments :

Anonymous said...

Sebuah penulisan yang cukup menarik dan banyak ilmu di dalamnya. Sangat memberi peringatan kepada diri saya sendiri.

yusofsipan said...

cikgusazili, mudah2an kita akan terus perbaiki diri dlm usaha menggapai impian bagi beroleh kejayaan hakiki hidup di dunia apatah lagi di akhirat yg kekal abadi, amin!

WR said...

amat menakutkan bila membaca tentang nafsu amarah ini. Ya Allah perelokkanlah akhlak ku. saya pun kdg2 cepat marah bila berurusan dengan rakan2. Bila tersedar cepat2 berisgfar...

Nur Fatiha Azaim said...

mudah2an dipermudahlan sgala urusan didunia dan diakhirat...
ameennn...