Monday, December 01, 2008

asal-usul Muar

Terdapat beberapa variasi mengenai asal usul nama Muar.
Muar lahir daripada perkataan ‘MUARA` iaitu kuala sungai. Ini disebabkan oleh petempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dikalahkan oleh Majapahit pada awal abad ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan portugis pada tahun 1511, raja dan pembesar Melaka melarikan diri melalui Sungai Muar. Walau bagaimana pun dari beberapa sumber bertulis dan keterangan lisan didapati banyak kemungkinan bagaimana nama Muar itu telah ditentukan. Menurut catatan Dato` Abdul Syukor Ismail, nama Muar dipercayai berasal dari perkataan Sunda iaitu `MUARA` yang bermaksud kuala sungai. Nama ini telah diberi oleh orang-orang Sumatera yang datang ke Muar pada zaman dahulu. Ada kemungkinan apabila mereka sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu, mereka tertarik kepada kuala sungai yang terbuka luas itu lalu dinamakan Sungai Muara. Lama kelamaan nama itu disebut dengan pendek sahaja iaitu Muar.


Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada perkataan `muak` yang bermakna jemu. Kawasan pantai Muar itu merupakan daratan yang rata tanpa bukit-bukitnya. Ini menjemukan pandangan pelayar-pelayar yang menuju ke arah Kuala Muar daripada selatan. Di dalam sejarah biduanda Sungai Lumut Luak dan Jelebu di Negeri Sembilan, ada menyatakan asal usul nama Muar dikatakan terbina daripada perkataan `MUAK` yang dalam bahasa Melayu ertinya bosan atau jemu dengan sebab terlampau banyak makanan yang serupa atau membuat pekerjaan yang berulang kali. Adalah diriwayatkan bahawa orang Melayu yang mula-mula mudik ke sungai ini telah terlalu bosan dan muak berkayuh dan apabila sampai ke satu tempat di antara Segamat dan Jelai terus berhenti dan membuat petempatan di situ. Lantas menamakan tempat itu Muak atau Muar.

Asal usul nama Muar juga dikatakan berasal daripada perkataan `mu-aru` (bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai. Daripada perkataan `murthu-aa` iaitu perkataan Benggali yang ertinya sungai yang berbelit-belit. Namun begitu terdapat juga pendapat lain yang menyatakan nama Muar berasal daripada perkataan Hindi iaitu ``Mucar`` atau ``Mocar`` yang bererti berliku-liku atau berbelit-belit. Di samping itu, terdapat juga pendapat yang mengaitkan nama asal Muar berdasarkan cerita-cerita dongeng tertentu. Menurut Hj. Aris bin Tahir, nama Muar dipercayai berasal daripada satu tempat yang bernama Teluk Dalam seperti mana yang tercatat di dalam Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman ;
``Muar belum bernama Muar
Muar bernama Teluk Dalam``
Pada ketika itu , Muar merupakan satu teluk yang melengkong ke dalam (Teluk Dalam) dengan hujungnya di sebelah selatan berhampiran dengan Bukit Mor, di sebelah utara dan di tengah-tengahnya dengan Pengkalan Bukit. Justeru itu dapat dibuat kesimpulan bahawa semua kawasan di tepi pantai Muar dan Parit Jawa terus ke Kesang adalah laut yang dinamakan Teluk Dalam. Menurut beliau juga, nama Muar itu berasal daripada sebuah tempat yang dinamakan Padang. Pembukaan kawasan ini oleh perantau-perantau dari Indonesia khasnya dari Riau, Sumatera, Siak dan Jawa, akhirnya telah membawa kepada kemunculan tempat tersebut sebagai pusat pentadbiran yang dinamakan Muar. Sungai Muar buat pertama kalinya telah diketahui oleh orang-orang Hindu Purba kira-kira dalam abad 400 sebelum Masihi. Oleh itu terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa nama MUAR ini ialah kependekan daripada Bahasa Hindu ``MUNU`` yang bermaksud tiga dan ``AR`` bermaksud sungai. Nama MUAR juga dipercayaai berpunca daripada nama sebuah negeri besar di selatan India pada zaman purba yang dinamakan MUAR atau MUNAR yang bermaksud ` Negeri Tiga Sungai ` kerana negeri ini terdiri daripada tiga batang sungai penting yang bercantum perairannya menjadi satu. Apabila orang-orang Hindu Purba itu datang ke Semenanjung Tanah Melayu dengan tujuan untuk mencari emas. Justeru apabila mereka itu terjumpa tiga batang sungai yang bercantum perairannya seperti Sungai Muar atau Munar di negerinya itu maka teruslah mereka menamakan nama MUAR kepada sungai itu.

7 comments :

simantanguru said...

Cikgu Yusof,
Barulah saya tahu asal usul nama Muar tu...

sazili said...

Cikgu Yusof,
Bagus cerita yang cikgu bawak ni. Nampaknya banyak versi asal usul muar ni. Kat rumah saya ni, orang sebelah, dia tak tahupun asal- usul tanah kelahiran dia, yang dia tahu muaou..muaou aje ! Nanti saya cerita kat dia.

kelana said...

sop
ada satu cerita lagi, tapi cerita mulut kemulut..macam rawatan kecemasan jugak.. asal usul orang duduk muo ni ialah pahlawan yang di tugaskan menjaga selat melaka dari lanun..sebab tu orang muo ni garang garang...[ kau pun termasuklah jugak cuma kau duduk atas pokok macam burung jamput, tetapi paruh kau dan cengkaman kau ganas jugak ] bila mamat siam nak takluk melaka depa pilih batu pahat tak berani depa pilih muo, takut kena katok. orang tua tua cerita nama muar berasal dari muara. tetapi bila sultan johor di besarakan oleh inggeris sultan berlindung di muo dan menamakan dia bandar maharani..pembesar dia adalah sempena nama jalan yang ada sekarang, Hj Abdul Rahman [ penasihat agama ] Jadi Jalan Abd rahman, Temenggong Ahmad, Khalidi, Salleh, Dll..kau nak tau lebih dalam kau datang rompin, bio aku citer kat kau 3 hari 3 malam... saja sakat kau. hahahaha

cikguyusof said...

cikgu wahab, cikgu sazili dan Usop Rompin, post yg akan datang nanti ialah ttg asal-usul Parit Jawa. Sehari dua ni nak main ttg asal-usul ler pulak, hehehe... tunggguuuuuuu!!!

miss yana said...

cikgu,, mcm mana pulak dgn asal usul kampung parit sakai ??? saya tengah konpius dalam pembikinan kerja kursus pbs nihh

miss yana said...
This comment has been removed by the author.
cikgu yusof said...

Miss Yana, cuba tanya Cikgu Khamis yg rumahnya betul2 di sebelah parit sakai tu, dia orang lama......