Abd Bashid Harun berkata,
"Semalam sekolah saya menerima dua orang guru pelatih UPSI. Kedua-duanya ditempatkan di sesi petang memandangkan petang yang lebih memerlukan guru. Terima kasih Pengetua. Selepas bertemu dengan Pengetua, mereka menemui saya pula. Saya mengambil kesempatan dengan menerangkan sepintas lalu tentang kedudukan sesi petang.
Saya beritahu mereka bahawa teori yang dipelajari semasa di universiti itu penting.Tetapi ada yang lebih penting daripada teori tersebut, iaitu wajah dan bentuk sebenar pelajar-pelajar yang akan mereka hadapi. Bagaimana seseorang guru itu dapat melenturkan peranan mudah ubah mereka berdasarkan teori yang dipelajari dengan rupa dan keadaan sebenar pelajar di dalam kelas, itulah yang akan menentukan kejayaan seseorang pendidik.
Saya beritahu mereka sepatutnya lebih lama seseorang guru itu mengajar, maka sepatutnya akan lebih cekaplah P & P mereka. Dan seterusnya akan lebih cekaplah mereka dalam mengawal kelas, menceriakan pelajar-pelajarnya dan menarik keyakinan pelajar-pelajar kepada pengajaran mereka.
Kejayaan sebenar seseorang guru diukur berdasarkan “permainan” yang dilakukan dalam tempoh 40 ( 1 waktu) atau 80 minit (2 waktu) dalam sesuatu masa pengajaran, bukannya berapa banyak teori yang mereka hafal dan jawapan yang mereka muntahkan dalam kertas soalan.
Sebelum melangkah ke sekolah, anda dengan penuh cita-cita berazam untuk menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran (p & P) yang terbaik sebagaimana yang anda pelajari di kolej atau universiti, tetapi anda mungkin akan mengalami kejutan dan kekalutan pada hari pertama lagi apabila anda menerima reaksi yang sama sekali berbeza daripada apa yang anda sangka selama in.
Apa yang anda sangka tidak semestinya anda akan dapat. Hari-hari atau minggu pertama akan menentukan sama ada anda benar-benar bersedia dengan wajah sebenar pelajar atau anda akan ditimpa kemurungan dan rasa bersalah yang berpanjangan. "
Sumber: http://gurubashid.com/blog/
No comments :
Post a Comment