Thursday, November 20, 2008

pelajaran

Selepas solat zohor di Masjid jamek Muar semalam, aku didatangi seorang lelaki (spontan aku menyangka tentu dia hendak meminta-minta) Sambil menghulur pengenalan diri;
Dia : “Saya nak balik”
Aku: “Awak nak balik mana?” (Sambil membelek2 pengenalan dirinya)
Dia: “Sungai Rambai”
Aku: “Sungai Rambai kat mana?” (Pengenalan diri itu mengesahkan bahawa dia adalah OKU, Jenis Ketidakupayaan: Masalah Pembelajaran)


Dia: “Parit Putat”
Aku: “ooo... umur bape tahun (Dalam pengenalan dirinya tercatat tahun kelahiran ialah 1963)
Dia: (Terus menjawab) “40 tahun”
Aku: “Kenapa datang ke bandar?” (Macam pegawai penyiasat ler pulak akunya, banyak tanya....)
Dia: “Nak cari keje”
Aku: “Tadi datang dengan siapa?”
Dia: “Dengan kawan”
Aku: “Mana kawannya?”
Dia: “Tak tahu, dia tinggalkan saya”
Aku: “ Sapa hantar datang ke masjid”
Dia: “Ada Pakcik tu”
Aku: “Awak nak balik sekarang?” (Sambil berfikir bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada lelaki ini kerana aku biasa berjumpa dengan orang yg meminta-minta wang untuk tambang balik dengan alasan kehilangan dompet)
Dia: “Ye”
Aku: “Ok, saya pun nak menghala ke sana, boleh ler saya tumpangkan hingga ke Tanjung Gading” (Entah mengapa aku bermurah hati pulak untuk menumpangkannya, mungkin kerana hingga saat ini dia masih belum lagi meminta wang)
Dia: “Ok! (Macam separuh menjerit sehingga terkeluar air liur daripada mulutnya) Saya nak ambil kasut kat sana!” (di sebelah kanan masjid).
Aku: “Ok saya tunggu di kereta” (Sambil menunjukkan arah di sebelah kiri masjid tempat aku meletakkan kereta).

Aku terus berjalan ke kereta, menghidupkan enjin dan menunggu. Lima minit berlalu tapi batang hidungnya pun tak nampak. Terlintas di fikiran untuk batalkan sahaja niat aku hendak menolongnya. Aku matikan enjin kereta dan masuk semula ke masjid untuk mencarinya tapi lelaki itu tidak ada pun! Puas aku mencari di setiap sudut masjid tapi tidak ketemu. Adakah aku sedang mengalami suatu kejadian yang pelik? Aku kembali ke kereta dan memandunya ke sebelah kanan masjid. Dia juga tidak ada di situ! Ke mana perginya lelaki itu? Adakah dia telah ghaib? Aku masih tidak berputus asa, aku pusing sekali lagi masjid itu dan berhenti di pintu besar sebelah kanan masjid. MasyaAllah! Ada lelaki itu sedang duduk bersandar! Aku melambainya dan segera dia datang. Sebelum dia masuk dan sedang membuka pintu aku telah ajukan soalan.

Aku: “Mana pergi?”
Dia: “Cari selipar”
Aku: “ Tu selipar awak ke?” (Bimbang dia mengambil selipar orang lain)
Dia: “Ye, tadi ada orang pinjam”
Aku: “Ok, pasang tali pinggang. Nama siapa?” (Sebenarnya aku terlupa untuk membaca namanya pada kali pertama dia memberi aku melihat pengenalan dirinya itu)
Dia: “Abdul Halim...” (Sambil mengeluarkan semula pengenalan diri dan menghulurnya pada aku. Aku mengambilnya dan membaca nama yang tertera; Abdul Halim bin Isnin)
Aku: “Umur awak sebenarnya 45 tahun kerana awak lahir pada tahun 1963 dan sekarang ialah tahun 2008. Umur saya 48 tahun kerana saya lahir pada tahun 1960 (Aku memberitahunya walapun dia tidak pun bertanya. Sehingga saat ini dia tidak pernah pun mengemukakan sebarang pertanyaan kepadaku!) Awak dah makan?”
Dia: “Lom”
Aku: “Lapar?”
Dia: “Takpe, nanti saya makan di rumah”
Aku: “Nanti kalau ada orang jual pau di tepi jalan saya belikan, awak makan pau?”
Dia: “Makan!”

Aku belikan dua biji pau kacang dan memintanya untuk terus memakannya sewaktu masih panas. Dia terus makan dan bila habis sebiji aku suruh makan yang sebiji lagi. Dia kata nanti dia akan makan tapi kulihat dia tidak pun membuka bungkusan pau itu. Mungkin dia nak menyimpan untuk ibunya, detik hatiku. Menurut ceritanya, dia hendak mencari kerja membasuh pinggan mangkuk di kedai makan tetapi kawannya telah meninggalkannya.. Inilah kali pertama dia ke bandar Muar. Dia memang tidak membawa walau sesen duit pun dan tambang bas datang tadi dibayar oleh kawannya. Dia mendapat bantuan sebanyak RM100 daripada Pejabat kebajikan Masyarakat. Jiran sebelah rumah yang tolong mengambilkannya. Ibunya pula mendapat sebanyak RM150. Bapanya telah lama meninggal dunia. Dia hendak mencari kerja dan mengumpul duit untuk membeli beras. Sayu aku mendengar katanya. Semasa berbual, dia berulang-ulang kali mengatakan buat apa dia hendak berbohong. Aku berasa bahawa dia tidak menipu walapun ada beberapa peryataannya yang tidak tepat dan aku pun tak kisah jika dia tidak bercakap benar. Aku mengambil keputusan untuk menghantarnya hingga sampai ke rumah dan teringin juga aku hendak berjumpa dengan ibunya. Apabila tiba di satu simpang, dia suruh berhenti di situ saja, kereta tak boleh sampai hingga ke rumah, jalan tak elok, ada lubang besar katanya. Aku biarkan dia turun di situ dan sambil mengucapkan terima kasih dia berlalu pergi. Dia tidak pun mengajak aku ke rumahnya. Hajat hati nak melihat rumah dan berjumpa ibunya tidak kesampaian, namun banyak pelajaran yang aku perolehi pada petang itu.

3 comments :

Anonymous said...

Cikgu paparkan sebuah pengalaman yang cukup menarik. Bila cerita seumpama ini dipaparkan saya selalu tertanya-tanya, ramaikah lagi rakyat yang seperti ini di negara kita, bagaimanakah kehidupan mereka hari esoknya dan siapakah yang pedulikan mereka ? Yang paling penting, akan ada lagikah orang yang seperti orang yang membantunya pada hari itu, pada hari esoknya ?

yusofsipan said...

Cikgu Sazili, saya sebenarnya berasa macam tidak sengaja ler pulak membantunya... namun refleksi daripada pengalaman itu saya dapati diri ini masih lagi tebal dengan prejudis dan masih berkira2 untuk menghulur bantuan....

kembara kelana said...

usop
kau memang baik, sebab tu nama kau usop,apa pun kalau kau datang cepat kau akan dapat bilik bawah ok.