SHAH ALAM – Masih ingat lagi kisah cinta meruntun hati
Abil-Fauziah yang disiarkan muka depan terbitan sulung Sinar Harian Edisi
Isnin, 10 September 2012 lalu?
Mengisahkan ketabahan seorang suami menjaga isterinya yang
menderita penyakit saraf otak sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir, 2
April lalu.
Sebelum ini, kisah mereka mendapat perhatian umum setelah
Abil sanggup berhenti kerja demi menjaga Gee yang terlantar selepas diserang
asma sehingga menyebabkan Gee mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun
2011.
Kini hampir setahun berlalu, Abil atau nama sebenarnya, Abil
Fikri Ahmad akui cintanya masih kuat buat Allahyarhamah Fauziah Muhamad
sehingga saat ini.
Menurutnya, sejak pemergian Fauziah atau lebih mesra dengan
sapaan, Gee, beliau masih belum mendapat rehat yang mencukupi kerana memenuhi
pelbagai undangan di seluruh negara.
“Sejak isteri saya meninggal, saya belum dapat rehat yang
betul-betul. Seminggu selepas arwah meninggal, saya mendapat jemputan untuk
beri ceramah.
“Kemudian buku Warkah Buat Isteri baru siap, jadi saya agak
sibuk mempromosikannya sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Berkongsi cerita lucu mengenai dirinya, Abil memberitahu
mendapat gelaran Duda Idaman Malaya (DIM) daripada pengikut di blognya.
“Mereka kata pada saya... ini bukan saya yang buat sendiri.
Mereka panggil saya encik DIM iaitu Duda Idaman Malaya. Pembaca dah bagi, jadi
saya hormati itu. Sedap juga nama itu,” katanya sambil tergelak kecil.
Sejak beberapa bulan lalu, Abil akui sering diasak
pertanyaan soal mencari pengganti.
Bukan menolak jodoh, Abil memilih untuk 'meredakan' dahulu
perasaannya.
"Perasaan cinta ini pada isteri saya walaupun dia sudah
meninggal, terlalu kuat. Bukanlah saya menolak jodoh yang akan datang. Pada
saya dia baru meninggal walaupun sudah hampir setahun dia pergi.
"Berilah saya masa sedikit.
Mungkin selepas April ini saya akan mula mencari
(pasangan)," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Abil mengakui lewat mencari
pengganti bagi mengelakkan fitnah meskipun usianya sudah mencecah 45 tahun.
"Sebab kenapa saya lambat mencari pengganti adalah untuk
menjauhkan fitnah mulut diri masing-masing. Kadang-kadang orang yang kata,
tengok kubur isteri merah lagi... itu yang saya elak.
"Saya selalu cakap pada keluarga terutama pada ibu
saya. Nanti dululah mak. Jangan biar mereka buat dosa," katanya.
Mengimbau detik pemergian Allahyarhamah Gee, Abil
menyifatkan ia sebagai peristiwa paling sedih berlaku dalam hidupnya.
"Masa itu, saya rasa kawan saya, sahabat saya dan
isteri saya dah tinggalkan saya. Saya rasa saya sendirian.
"Itulah saat paling sedih dalam hidup saya, saya tak
pernah rasa sedih seperti itu," katanya sebak.
Kini, Abil aktif memberikan ceramah motivasi kepada umum
terutamanya berkaitan kekeluargaan. - SH
No comments :
Post a Comment