Ramadhan
– bulan yang indah di mana rakan-rakan Islam kita berpuasa dan orang bukan
Islam berkunjung ke bazar Ramadan. Bukan
lagi rahsia bahawa makanan boleh didapati di mana-mana sepanjang bulan ini dan
apabila masa berbuka puasa, pilihan makanan yang ada melimpah ruah.
Tetapi
berapa ramaikah di antara kita sebenarnya menghabiskan makanan yang kita beli
atau masak dalam bulan yang mulia ini? Anda akan terkejut bahawa rakyat
Malaysia membuang 1,000 tan makanan
sehari, sepanjang Ramadhan. Ya, ini adalah 1 juta kilogram setiap hari. Darab
dengan 30 (hari) dan jumlahnya adalah 30 juta kg.
Maklumat
mengejutkan ini dilaporkan dalam akhbar harian berbahasa Melayu Berita Harian
baru-baru ini, menurut statistik yang disediakan oleh Solid Waste and Public
Cleansing Management Corporation (SWCorp).
Jumlah
ini cukup untuk memberi makan tujuh juta orang di negara-negara yang berhadapan
dengan konflik seperti Togo, Sierra Leone, Nicaragua, Gambia dan Botswana,
lapor harian itu.
Makanan
seberat 30 juta kg ini juga mampu memberi makan 3.8 juta penduduk di Bosnia
Herzegovina, sebanyak dua kali.
Menurut
ketua pegawai eksekutif SWCorp Ab Rahim Md Noor, sejumlah 1,000 buah lori satu
tan diperlukan untuk mengangkut sisa harian – bersamaan dengan 30,000 lori
sebulan.
"Peratusan
sisa makanan di seluruh negara meningkat antara 15 dan 20 peratus dalam bulan
Ramadhan, dan juga semasa perayaan Aidilfitri.
"Kajian
kami mendapati bahawa rakyat Malaysia secara purata membuang kira-kira 800,000
kg makanan setiap hari, dan bilangannya boleh mencecah sehingga 1 juta kg
(1,000 tan metrik) semasa Ramadhan dan juga Aidilfitri," katanya kepada
akhbar itu.
Menurut
beliau, syarikat itu perlu membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk
mengendalikan jumlah sisa sebesar itu.
SWCorp
telah turut meminta bantuan dari jabatan-jabatan agama negeri untuk menasihati
umat Islam agar tidak membazirkan makanan.
"Malah,
beberapa buah hotel juga telah bersetuju untuk membantu kami dengan meletakkan
notis peringatan "jangan bazirkan makanan" berhampiran bufet
mereka," katanya.
Memang
mengejutkan untuk membaca tentang begitu banyak makanan yang dibazirkan
sedangkan ada beratus-ratus, jika bukan beribu-ribu orang di halaman rumah kita
sendiri, yang tidak dapat makan.
Akui
saja yang kebanyakan kita membazirkan banyak makanan – sama ada kerana ianya
tidak kena dengan selera kita, atau kita tidak mampu menghabiskannya.
Pada
masa yang sama, kita tidak fikir tentang mereka yang lapar dan terdesak –
seperti masyarakat yang dilanda perang yang hidup di negara-negara yang
dinyatakan tadi atau kaum Rohingya yang hanyut di lautan.
Kita
tidak perlu pergi sejauh itu. Golongan gelandangan di tengah-tengah KL, yang
beratur selama berjam-jam di dapur sup untuk dapat menjamah makanan, turut
tidak terlintas di fikiran kita.
Kita
amat bernasib baik. Kita memiliki bumbung atas kepala kita, dan pekerjaan yang
memberikan kita wang yang cukup untuk memberi makan diri sendiri, dan keluarga
kita.
Tiada
salahnya untuk makan secara "mencuba" dan "bereksperimen"
dalam bulan mulia ini, tetapi ingatlah bahawa Ramadhan juga adalah bulan puasa,
dan bukannya bulan "berpesta". Juga, Ramadhan (dan agama Islam secara
umumnya) adalah mengajar tentang kesederhanaan.
Jika
anda membeli lebih daripada apa yang anda boleh habiskan, pastikan anda tidak
membuang makanan yang berbaki. Bungkuskannya dan berikan kepada mereka yang
memerlukan atau yang kurang bernasib baik.
No comments :
Post a Comment