Saturday, May 16, 2015

mana netbook 1malaysia

Hari ini genap setahun pengumuman pemberian 400,000 netbook 1Malaysia sebagai hadiah Hari Guru 2014 oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Namun Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, sehingga menjelang sambutan Hari Guru esok, para guru masih tertanya-tanya tentang janji pihak kerajaan tersebut Shabery pada 19 Jun 2014 dalam jawapannya di Parlimen berkata, sebanyak RM400 juta telah dibelanjakan untuk Netbook 1Malaysia.

Tegas Kok Seong, RM400 juta merupakan angka yang sangat besar dan perbelanjaan itu perlu diperjelaskan kepada warga guru dan seluruh rakyat Malaysia.



“Jika RM400 juta telah dibelanjakan, saya rasa pihak kerajaan harus menjawab ke mana perginya kesemua Netbook 1Malaysia yang telah dibeli itu,” kata Kok Seong dalam kenyataannya hari ini.

Dalam jawapan bertulis Menteri Pendidikan kepada Kok Seong di Parlimen pada April 2015, bilangan netbook untuk para guru tidak mencukupi dan hanya dipinjamkan sekiranya ada keperluan.

Ini kerana 218,002 unit telah diserahkan kepada 4,501 sekolah dan 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) di seluruh Malaysia, manakala 126,231 unit dikekalkan sebagai unit gantian.

KPM beralasan bahawa penggunaan netbook ini dapat dioptimumkan sekiranya ditempatkan di makmal komputer sekolah dilengkapi perkhidmatan sokongan teknikal.

“Mengapa kerajaan perlu menampung kos untuk menyimpan sebanyak 126,231 unit gantian?

“Tidakkah 48 pembekal yang dilantik menawarkan ‘after sales service’ yang menjamin kualiti netbook yang dibekalkan?

“Kalau ikut logik KPM, bermakna setiap orang yang membeli netbook atau notebook untuk penggunaan persendirian sekurang-kurangnya perlu dua unit; satu untuk digunakan, dan satu atau dua lagi perlu disimpan di rumah untuk dijadikan gantian? soal Ahli Parlimen Rasah itu.

Ujarnya, tindakan kerajaan memungkiri janji kepada para guru merupakan penghinaan kepada sumbangan warga pendidik.

“Esok 16 Mei, adalah sambutan Hari Guru yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa warga pendidik dalam memberi ilmu dan didikan kepada anak-anak kita.

“Saya menyeru Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan memberi penjelasan yang munasabah dalam perutusan beliau sempena Hari Guru 2015,” tegas Kok Seong.

sumber