Rakyat Johor
terdiri dari pelbagai suku Melayu. Yang domain ialah suku Jawa sehingga ada
yang masih pekat atau totok. Meskipun begitu,
tidak semua berasal-usul dari keluarga marhein dari Pulau Jawa. Ada yang
terdiri dari golongan berpendidikan tinggi agama, pendakwah dan juga petani
yang berjaya. Tetapi kerana keluasan tanah terhad di Pulau Jawa maka mereka pun
berhijrah ke Negeri Johor. Kini, mereka
adalah rakyat Johor yang berjaya dan maju dengan hasil perkebunan. Kebanyakan
anak mereka berpendidikan tinggi dan menjawat perkhidmatan awam negeri Johor
dan Persekutuan.
Mengikut sejarah,
kedatangan suku Jawa ke Johor adalah hasil galakan dari Temenggong Daing
Ibrahim (1810-1862) ketika membuka
ladang gambir di Johor sekitar 1830-an setelah perusahaan gambir di Singapura
gagal kerana kekurangan tanah dan kayu-kayan yang menjadi bahan bakar utama
perusahaan itu. Dasar menggalakkan pekerja atau kuli bukan sahaja dari Jawa
tetapi juga dari Cina bagi memajukan tanaman gambir melalui sistem kangkar yang
diperkenalkan beliau.
Usaha dan dasar
memajukan Johor melalui perdagangan hasil hutan dan perladangan gambir ini
serta dasar membawa masuk pekerja luar telah diteruskan oleh anakanda baginda,
Temenggong Abu Bakar (1833-1895). Di zaman Temenggong Abu Bakar dasar ini dan
pembangunan yang terhasil sampai ke puncak klimaks pada tahun 1860 sehingga
1895. Dasar membangunkan negeri yang diterajui oleh Temenggong Daing Ibrahim
telah diteruskan oleh cucuanda baginda Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu
Bakar(1873-1959).
Suku Jawa
digalakkan datang ke negeri Johor untuk bekerja dan membuka kebun. Disamping
sebagai pekerja dan pekebun mereka juga menjadi pengimbang pola jumlah dan
taburan pekerja atau pekebun bangsa Cina. Satu surat khas terkenal dengan nama
Surat Kebenaran Membuka Kebun
dikeluarkan oleh pejabat Temenggong dan kemudian Pejabat Tanah Negeri
Johor semasa pemerintahan Temenggong Abu Bakar.
Pekerja atau orang Cina dikawal dengan peraturan Kangkar dan Sistem
Kangcu manakala orang Jawa dikawal oleh pemimpin tradsional iaitu penghulu dan
orang-orang Kaya selaku pembesar dan wakil raja.
Orang Jawa juga
banyak dibawa masuk oleh Syarikat Konstantinople milik jutawan Arab bernama As
Sagof yang mendapat konsesi membuka ladang seluas daerah Pontian. Beliau ialah
sahabat baik kepada Maharaja Abu Bakar dan beliau telah membawa masuk
pekerja-pekerja Jawa melalui Sistem Haji di mana beliau memberi kemudahan
menunaikan fardu haji kepada pekerja Jawa melalui tabungan upah bekerja di
ladang kelapanya di Pontian. Pekerja Jawa boleh menunaikan fardu haji apabila
wang perbelanjaan yang dikumpulkan mencukupi. Mereka juga diberi kemudahan
menunaikan haji terlebih dahulu dan kemudian bekerja untuk melangsaikan
hutang. Sesiapa yang telah menunaikan
fardu haji diberi pilihan untuk pulang ke kampung halaman atau terus menetap
atau bekerja mengumpul wang sebagai bekalan apabila kembali ke tanahair dengan
bekerja di ladang Syarikat Konstantinople.
Perusahaan dan
perniagaan syarikat ini amat terkenal dan terbesar di Asia Tenggara ketika itu.
Perdagangan yang diusahakan oleh syarikat ini termasuk perkapalan, pengangkutan
laut, perladangan dan juga perniagaan barang-barang nusantara dan juga dari
Cina ke Timur Tengah sehingga ke Konstantinople di Turki. Keluarga As Sagof
memiliki puluhan kapal sendiri dan sebahagian besarnya berkuasa dan berinjin
wap. Ladang-ladangnya terdapat di Pulau Muluku, Kalimatan atau Borneo, Pulau
Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Johor. Pejabat-pejabat
pengurusan syarikat ini terdapat di Turki, Saudi Arabia, Yemen, India,
Sumatera, Pulau Jawa dan di Singapura. Pejabat terbesarnya terletak di
Konstantinople Turki dan di sebelah timur terletak di Singapura dan
ditengah-tengah rangkaian perdagangannya yang terletak di Yemen dan juga India.
Di Johor, kemudahan
atau Sistem Haji yang diperkenalkan oleh
Syarikat Konstantinople mendapat sambutan hangat dari penduduk Jawa yang
beragama Islam kerana tiada berunsur penipuan dan penganiayaan.
Berbondong-bondong orang Jawa mendaftar diri menjadi pekerja Syarikat
Perladangan Konstantinople ini. Sebahagiannya terus menetap dan menjadi rakyat
Johor.
Selain daripada itu, fakta penarik orang Jawa
datang ke Johor juga adalah disebabkan oleh galakan Inggeris yang telah
mewar-warkan kegemilangan dan kemakmuran negeri Singapura dan Johor yang
diperintah oleh raja Melayu yang moden dan adil seperti pemerintahan Inggeris
ketika mentadbir pulau Jawa menjaga kepentingan Belanda yang sedang terlibat
dengan peperangan Napoleon. Inggeris telah mengambil kesempatan mempengaruhi
orang Jawa agar menolak Belanda dan menerima Inggeris terus memerintah Jawa.
Ketegasan Belanda mengambil semula negeri-negeri taklukannya setelah Perang
Napoleon berakhir telah mendorong Inggeris berusaha meluaskan pengaruhnya di
Nusantara.
Sistem tanaman
paksa oleh Belanda pada tahun 1820-an
yang telah memaksa penduduk Jawa menanam hanya kopi, teh dan rempah ratus
sahaja telah menimbulkan kemarahan orang Jawa yang menghadapi kekurangan bahan
makanan. Bagi mengelak kebuluran, ramai orang Jawa telah berhijrah ke
Semenanjung Tanah Melayu dan tinggal di negeri Melayu dibawah pengaruh
pentadbiran Inggeris. Kebanyakan orang Jawa yang kuat pegangan agama dan enggan
tunduk di bawah pengaruh pentadbir kafir (Belanda) telah memilih Johor untuk
menetap. Mereka telah datang secara berperingkat-peringkat dengan menaiki kapal
milik kerabat diraja yang dikenali sebagai sadagar raja yang mendapat kebenaran
khas belayar dan berdagang di nusantara oleh Belanda.
Mengikut catatan
sejarah, gerombolan atau gelombang penghijrahan orang Jawa ke Semenanjung Tanah
Melayu yang paling aktif ialah pada tahun 1835 sehingga 1900. Ini adalah
berikutan Sistem Rodi atau Tanaman Paksa yang dipaksakan oleh Belanda dan
pengeluaran hukuman berat kepada sesiapa yang engkar perintah sehingga sampai
ke tahap mengancam nyawa. Keluarga kerabat Diraja Cerebon sebagai contoh
merupakan kumpulan saudagar Raja yang paling aktif kerana mereka mahir berlayar
dan berdagang di serata teluk dan rantau serta pelabuhan-pelabuhan di Nusantara.
Berdagang dan berdakwah adalah budaya hidup mereka. Mereka mewarisi ilmu
pelayaran, perdagangan di samping penyibaran agama sejak turun-temurun dan
berasal-usul daripada sheikh-sheikh dan pedagang Arab.
Mengikut catatan
Belanda, Hj Ibrahim pernah berulang alik dari Jawa ke Melaka pada tahun
1800-1825 kemudian anaknya Lebe Mat
(Lebai Muhamad) adalah antara nakhoda Jawa berdarah Arab (Saudagar Raja
Cerebon) yang telah membawa masuk orang-orang Jawa ke Semenangjung Tanah
Melayu. Mereka mempunyai jadual belayar yang tetap dan berulang alik dari Pulau
Jawa sejauh Maluku, Tuban, Cerebon, Betawi, Siak, Singapura, Muar, Melaka,
Selangor, Kelang, Bruas dan Kuala Kedah dari tahun 1800-1879. Muar telah
dipilih menjadi penempatan keluarga mereka kerana terdapat perkampungan Arab di
situ.
Kampung Jawa Muar
(Kg Bakri) contohnya telah dibuka pada tahun 1869 oleh Hj Md Noh anak Lebai
Muhamad bin Hj Ibrahim. Sebelum itu,
Penghulu Jabar yang berasal dari Jawa Timur telah mengikut kumpulan
pelayaran saudagar raja Cerebon ke Parit Bakar Muar pada tahun 1860 dan membuka
Parit Jawa pada 1865. Rombongan dan penghijrahan dari Jawa terus berlaku pada
tahun-tahun berikutnya apabila Gerisik, Bukit Gambir, Sungai Raya dan beberapa
perkampungan dan desa dibuka oleh orang Jawa di Muar dan di sepanjang pantai
barat Johor atas galakan Maharaja Abu Bakar yang kemudian bergelar Sultan Johor
(1885).
Gerombolan kedua
orang Jawa berhijrah ke Johor, sebelah pantai timur Johor dan di sepanjang
pantai barat Semenangjung adalah pada tahun 1915 sehingga hujung 1930-an
berikutan pembukaan ladang getah, nenas dan teh tetapi penanaman teh tidak
digemari oleh orang Jawa kerana mereka mempunyai pengalaman pahit dan hitam di
Jawa sehingga pengusaha-pengusaha dan peladang Inggeris terpaksa membawa masuk
perkerja dari India bekerja di ladang teh mereka.
Pada tahun 1885,
bermula sejak Maharaja Abu Bakar bergelar Sultan, semua peneroka Jawa
dibenarkan menamakan kampong dan desa yang dibuka oleh mereka mengikut nama
atau tempat asal usul mereka kerana kesetiaan mereka tidak diragui lagi dan
Sultan Abu Bakar telah mendapat mandat dan daulat sultan secara rasmi dari
kerajaan Inggeris.
Ketika Zaman Jepun
(1942-1945) terdapat juga catatan sejarah di mana banyak tentera paksa
berketurunan Jawa yang dibawa masuk dari pulau Jawa ke Semenanjung Tanah Melayu
gagal pulang dan akhirnya terus menyusup dan menetap sebagai penduduk di sini.
Mereka diterima dengan baik kerana terdapat suku Jawa yang telah lama
bermastautin malah diakui sebagai rakyat asal Negeri-negeri Tanah Melayu.
Kini (2012), mengikut perincian dari statistik pembacian
Jabatan Perangkaan Negeri, Johor (2010), orang Melayu adalah sebanyak 48%, Cina
40% India 8% dll bangsa 4%. Pecahan Suku
Melayu daripada sejumlah 48% itu ialah suku Jawa sebanyak 50%, suku Melayu Bugis 12%, Melayu
Johor 30% dll 8% . Boleh dikatakan orang Melayu suku Jawa adalah tunjang kepada
kemajuan dan pembangunan negeri Johor. Mereka mencurahkan kesetiaan yang tidak
berbelah bahagi kepada kerajaan negeri dan ketika ini mereka juga menjawat
jawatan tinggi dalam banyak jabatan dan berpengaruh dalam parti politik yang
diterajui oleh UMNO Johor. Mereka dengan bangga mengaku sebagai bangsa Melayu
dan berasal-usul dari suku Jawa.
Oleh
Tun Sheikh Engku Bendahara
Parit
Jawa Muar 24.11.2012
No comments :
Post a Comment