Kini di mana-mana pun majlis perkahwinan, acara berinai
menjadi kewajiban bagi pengantin lelaki dan perempuan untuk berinai. Sepertimana yang kita maklum, majlis berinai ini mempunyai tiga jenis:
1- Berinai curi
Ianya biasa diadakan pada waktu petang tiga hari sebelum
hari perkahwinan. Kebiasaannya pula, kedua-dua tangan dan kaki pengantin perempuan akan
diinai untuk tatapan kaum keluarga dan saudara-mara.
2- Berinai kecil
2- Berinai kecil
Ianya sama seperti berinai curi, tetapi diadakan
pada waktu petang 2 hari sebelum majlis perkahwinan. Seperti inai curi, ianya
juga untuk tatapan kaum keluarga.
3- Berinai besar
Biasanya acara ini diadakan sebelum majlis
berlangsung atau selepas majlis akad nikah.Menurut adat resam melayu, ianya
diadakan untuk tetamu khas jemputan pengantin.
Adapun berinai ini sering menjadi permasalahan di
sisi agama apabila adat ini bercanggah dengan syariat Islam. Sering kali ianya
menjadi perkara yang dikatakan tidak menjadi masalah sedangkan ianya salah
disisi agama.
Inai yang
menjadi kesalahan di sisi agama
Sebenarnya, hukum memakai ini ini harus menurut
pandangan mazhab Syafie dan Hambali. Malah pendapat muasarah(terkini) juga
mengatakan hukum memakai inai ini harus. Akan tetapi, persoalannya, apakah yang
menjadikan hukum memakai inai ini haram?
1-Hukum memakai inai menjadi haram apabila ianya
dipakai oleh kaum lelaki. Inai ini sebenarnya merupakan alat perhiasan kaum
wanita. Hadith Rasulullah S.A.W berbunyi:
“Allah melaknat orang yg menyerupai
wanita dari kalangan kaum lelaki, dan juga perempuan-perempuan yg menyerupai
lelaki dari kalangan wanita.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tirmizi)
Seperti yang kita tahu, di majlis perkahwinan,
pengantin lelaki akan berinai di tapak tangan dan hukum memakai inai di tapak
tangan bagi lelaki sebenarnya haram kerana inai merupakan perhiasan khas bagi
kaum wanita sahaja. Hadith diatas jelas menerangkan kepada kita bahawa haram
kaum lelaki itu menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Dalam hadith
yang lain pula:
“Bahwasanya Nabi SAW didatangkan
kepadanya seorang mukhannath (khunsa@lelaki menyerupai wanita) yang mewarnakan
tangannya dengan inai. Dikatakan kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah.
Lelaki ini cuba menyerupai wanita.” Lalu diperintahkan lelaki itu dihantar ke
naqi’ah(nama tempat) (sebagai hukuman, dihantar ke tempat yang terpencil supaya
dijauhi dari orang ramai). Lalu mereka bertanya kepada rasulullah S.a.w:
“Kenapa dia tidak dibunuh?” Lalu baginda S.A.W bersabda: “Aku dilarang membunuh
mereka yang bersembahyang.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yg soheh)
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa inai bagi
kaum lelaki adalah haram. Dan keterangan ini pula dikuatkan dengan fatwa yang
dikeluarkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan;
“Bahawa hukum lelaki memakai inai di
kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasaan
wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan tidaklah mengapa(tujuan kesihatan
seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit kuku rosak.”
Kenyataan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan
kepada kita bahawa inai hanya dibenarkan untuk kaum lelaki apabila dalam
beberapa urusan sahaja. Adapun hukum berinai yang dibenarkan untuk kaum lelaki
ialah hanya pada urusan kesihatan seperti berinai untuk merawat penyakit kuku
buruk, dan pada rambut dan janggut sekiranya terdapat uban. Hal ini dijelaskan
oleh Syeikh Masyhur Hassan Salman yang bermaksud:
“Mewarnakan atau inai bagi lelaki
dibolehkan pada keadaan yang digunakan oleh para Sahabat Nabi SAW dan Tabie’en
dan juga dipakai pada janggut dan rambut sekiranya pada kedua-duanya terdapat
uban, manakala pada tangan-tangan dan kaki-kaki maka tidak dibolehkan bagi
lelaki untuk memakai inai melainkan hanya untuk berubat dengannya, adapun jika
ia digunakan untuk tujuan perhiasan, padanya penyerupaan seperti perempuan,
maka tidak dibolehkan baginya mewarnai kaki atau tangannya melainkan untuk
tujuan perubatan. Adapun uban pada janggut dan rambut walaupun sedikit maka
daripada sunnah Nabi SAW baginya mewarnai ubannya. Pernah dilakukan Nabi SAW,
mewarnai janggut baginda dan rambut-rambut baginda yg sedikit.”
Bagi pendapat mengatakan bahawa boleh mewarnakan
uban dengan inai, terdapat hadith yang mengatakan boleh untuk menggunakan inai:
“Sesungguhnya sebaik-baik bahan untuk
mengubah (mewarna) uban ini adalah inai dan khatam”(Diriwayatkan oleh Imam
Ahmad)
2-Hukum berinai bagi kaum wanita pula terbahagi
kepada dua, iaitu harus dan haram. Inai ini merupakan perhiasan wanita dan
harus bagi wanita itu memakainya samada di majlis perkahwinannya atau lain-lain
keadaan. Sabda Rasulullah S.A.W:
Dari Ummul Mukminin A’isyah r.a.
berkata: ” Seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin
menyampaikan surat kepada baginda S.A.W. lalu baginda melihat tangan itu seraya
baginda bersabda: Aku tidak tahu samada ini tangan lelaki atau perempuan. itu
menjawab: Aku adalah seorang wanita.Rasulullah S.A.W bersabda: Sekiranya kamu
seorang perempuan, berbezalah dengan memakai inai dijarimu.”
Hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa inai
adalah harus bagi kaum wanita kerana ianya adalah perhiasan dan membezakan
antara lelaki dan wanita. Persoalannya, apakah yang menjadikan inai itu haram
buat kaum wanita?
Hukum inai buat kaum wanita akan menjadi haram
apabila inai itu diukir menjadi bentuk. Seperti yang kita maklum, ukiran inai
di tangan wanita kini menjadi trend bagi setiap wanita untuk melakukannya
samada ketika majlis kahwin atau pada keadaan biasa. Perkara ini menjadi khilaf
dalam menentukan hukumnya samada adakah ianya dibolehkan atau tidak. Ada
pendapat mengatakan bahawa hukumnya adalah haram kerana ianya menyerupai tatu.
Hadith Rasulullah S.A.W ada menyebut mengenai hukum tatu:
Dari Ibnu Umar ra katanya: “Bahawasanya
Rasulullah s.a.w melaknati orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya
disambungkan.Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu(al-Wasyimah) dan yang
meminta ditatu”.(Sahih Muslim)
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa tatu adalah
haram disis agama samada lelaki mahupun perempuan. Akan tetapi, menurut
pendapat Syeikh Imam Nawawi RHM, definisi Al-Wasyimah ialah
“Al-Wasyimah ialah memasukkan(cucuk)
jarum atau batu kecil atau seumpamanya pada belakang telapak tangan,
pergelangannya, bibir atau mana-mana kulit wanita sehingga mengalirkan darah,
kemudian pada tempat aliran darah itu diletakkan celak atau inai(النورة), maka
ia menjadi warna kehijauan.”(Imam Syarf bin Yahya an-Nawawi, Syarah Sahih
Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah.)
Manakala pendapat Syeikh Ibnu Hajar Al-Asqalani
pula, definisi Al-Wasyimah ialah:
“Al-Wasym(tatu) ialah Jarum dimasukkan(dicucuk)
atau selainnya di dalam badan sehingga mengalirkan darah, kemudian diletakkan
pada tempat(berdarah itu) dengan celak atau selainnya maka ia(tempat berdarah
itu) bertukar kepada warna kehijauan.” (Imam Ibnu Hajar al-Asqallani, Fathul Bari
Syarh Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab al-‘Ain Haq)
Perkara ini menunjukkan bahawa tiada nas atau dalil
yang mengharamkan hukum mengukir inai di tangan. Persoalannya, mengapakah
mengukir inai di tangan menjadi haram?
Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
“Allah melaknat orang yg melukiskan
sesuatu pada kulit mereka (membuat tatu)”
(Hadith Riwayat Bukhari Muslim)
Hadith di atas menunjukkan bahawa hukum melukis
sesuatu di kulit adalah haram. Dan di tangan juga merupakan kulit dan haram
mengukir inai di tangan kerana ianya meyerupai tatu meskipun ianya tidak
dilakukan dengan cara mencucuk atau melukakan.
Hukum mengukir inai di tangan menjadi haram kerana
ianya meyerupai kaum masyarakat Hindu. Masyarakat Hindu sering melukis inar
berbentuk bunga aau tumbuh-tumbuhan ketika majlis perkahwinan mereka dan ada
sesetengah mereka melakukannya ketika dalam keadaan biasa. Yang menjadikan
hukum mengukir inai ini haram kerana ianya menyerupai kaum India dan haram bagi
ummat Islam menyerupai sesuatu kaum. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa
menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.” (Riwayat
Abu Dawud, Ahmad dan dishahihkan Ibnu Hibban)
Meskipun Qawaid Usul Fiqh mengatakan bahawa:
“الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل
على التحريم”
‘Asal usul hukum itu adalah harus
diamalkan, selagimana tiada nas yang mengharamkannya’.
Akan tetapi, hadith Rasulullah S.A.W menyatakan
bahawa Allah Taala melaknat mereka yang melukiskan sesuatu di kulit dan haram
bagi kita menyerupai sesuatu kaum. Di sini jelas menunjukkan bahawa ada nas
yang mengharamkan bahawa hukum mengukir inai di tangan adalah haram walaupun
hukum Qawaid Fiqh mengatakan harus.
No comments :
Post a Comment